Aku agak tertarik dengan tajuk akhbar ini, sedikit sebanyak terasa juga di hati ni..huhu yela name pun masih pelajar mane idak nye hoho...
DIBANDINGKAN kehidupan dan cabaran pelajar dulu dan sekarang, memang banyak perbezaan. Jika dulu hanya berjalan kaki atau menaiki basikal, sekarang ada pengangkutan ke sekolah atau kereta yang menanti di depan rumah malah jika dulu hanya menjamah makanan asas sebagai alas perut, kini dilambakkan pelbagai juadah hebat.
Mereka yang lebih bernasib baik dibekalkan dengan wang melebihi keperluan selain pelbagai gajet elektronik seperti telefon bimbit canggih dan komputer riba.
Bagaimanapun, di tengah segala kemudahan itu, terbit pula kesannya apabila melihat jati diri dan semangat belajar mereka tidak sekental pelajar dahulu.
Pencapaian pelajar hari ini juga tidak sehebat mana walaupun dikelilingi kemewahan yang tidak dimiliki pelajar generasi lama. Apa puncanya?
Senario itu mewujudkan jurang ketara hingga membenarkan tanggapan pelajar hari ini terlebih dimanjakan hingga menyebabkan jati diri dan prinsip hidup menjadi lembik serta rapuh.
Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, membandingkan kedua-dua zaman pelajar perlu asas yang kukuh bagi membolehkan golongan terbabit dihakimi dengan seadilnya.
Beliau berkata, meskipun ketara kerenah pelajar hari ini manja dan mewah, bukan semua tidak mampu berdikari malah ada menunjukkan prestasi luar biasa jika keadaan memaksa.
“Mendefinisikan pelajar hari ini dengan tanggapan itu tidak salah namun perlu disokong bukti yang kukuh. Biarpun sekilas pandang mereka manja dan mewah, bukan semua begitu.
“Skop mewah itu sesuai ditujukan kepada pelajar dalam negara tapi jika di luar negara, tidak boleh kerana kebanyakannya matang dan berdikari dalam segala tindakan serta pemikiran.
“Bagaimanapun, masyarakat tidak boleh dipersalahkan jika mempunyai tanggapan begitu tetapi sebaiknya dilakukan dengan skop lebih luas,” katanya.
Memang pelajar moden diakui cukup bertuah kerana menikmati kemudahan dan kesenangan tanpa perlu berusaha keras hinggakan masyarakat melabelkan mereka dengan pelbagai �pandangan serta isu skeptikal.
Apatah lagi, didorong sikap ibu bapa yang ‘menyogok’ anak-anak dengan pelbagai material atas alasan menutup rasa bersalah kerana pengukuhan kerjaya menjadikan keadaan semakin kronik.
Pelajar dulu perlu berusaha keras dengan kudrat sendiri bagi memenuhi keinginan, menjadikan mereka lebih berjaya meskipun dihambat kemiskinan.
Ibu bapa memberi sepenuh kepercayaan kepada institusi pendidikan menjadikan anak mereka berjaya berbanding hari ini, mereka mudah melenting jika anak ‘disentuh’.
“Siapa tidak sayang anak tapi jika keterlaluan akan menyebabkan mereka ‘rosak’. Apabila sikap ini dibentuk sejak awal, apabila memasuki institusi pengajian tinggi (IPT), keadaan sukar diubah.
“Di IPT, mereka melalui frasa pendidikan berlainan yang segalanya perlu bergantung pada diri sendiri. Malangnya, kerana sering terbiasa mewah dan manja, kebanyakannya gagal bertahan, banyak merungut atau menimbulkan masalah.
“Apatah lagi faktor persekitaran seperti rakan sebaya menjadi ancaman kuat, mereka mudah terpengaruh.
“Biarpun turut mempunyai kecenderungan dan kehendak serupa seperti rakan lain, mereka gagal mengawal diri kerana terlebih manja,” katanya menolak tanggapan faktor latar belakang keluarga punca kerapuhan jati diri pelajar hari ini.
“Jangan berikan alasan latar belakang keluarga sebagai penyebab, namun keperluan perlu dilihat melalui cara didikan ibu bapa.
“Kebanyakannya salah memilih dan membiarkan diri terus hanyut mengikut arus kesenangan tanpa memikirkan implikasi masa depan.
“Akhirnya, mereka sukar keluar daripada kepompong lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Belajarlah untuk merasai kesukaran supaya tidak membebankan diri kelak,” katanya.
Bagaimanapun, akuinya, sikap ini berbeza dengan pelajar luar negara kerana tanpa pilihan, mereka terpaksa bergantung kepada diri sendiri.
“Pelajar manja perlu sedar, kesenangan dinikmati tidak mungkin bertahan lama, justeru segeralah berubah untuk menyelamatkan diri pada masa depan,” katanya.
From-Metro
No comments:
Post a Comment