Macam-macam gelagat orang zaman sekarang, apatah lagi bagi yang sedang hangat bercinta. Berpeleseran dan bercengkerama sampai tidak ingat dunia bukan lagi suatu fenomena aneh. Malah ada juga yang sanggup bersekudukan dengan seribu satu alasan diberikan semata-mata mahu menghalalkan tindakan.
Kalau dahulu, orang acap kali memilih untuk bersekedudukan kononnya kerana cinta, tetapi tidak boleh mendirikan rumah tangga atas pelbagai halangan. Sedangkan pada dasarnya ia sebenarnya lebih didorong oleh nafsu serakah untuk 'bersama' secara bebas tanpa sebarang batasan.
Bagaimanapun, hari ini trend bersekedudukan sudah berubah. Ia tidak lagi hanya membabitkan sepasang lelaki dan wanita belum bernikah berkongsi satu rumah. Tetapi bilangannya lebih daripada itu. Dan yang anehnya ada antara mereka yang tidak sedar mereka sedang bersekedudukan. Ini kerana bagi mereka,tinggal di dalam bilik secara berasingan antara lelaki dan perempuan dalam satu rumah tidak dikira sebagai bersekedudukan, apalagi kalau jumlah mereka ramai.
Berbeza dengan pasangan bercinta, lazimnya dalam keadaan begini, faktor kewangan dan gaji yang rendah acap kali dijadikan alasan untuk mereka menyewa sebuah rumah beramai-ramai tanpa menghiraukan percampuran antara lelaki dan perempuan. Bagi segelintir mereka, ia tidak mengapa asalkan bilik tidur masih berasingan.
Melihatkan kepada senario hari ini, trend seperti ini biasanya terjadi di kalangan pelajar atau golongan muda yang baru hendak memulakan kerjaya, tetapi terpaksa tinggal di kawasan mahal atas sebab tuntutan tertentu. Misalnya tempat kerja ataupun institusi pengajian terletak di kawasan tersebut. Namun, alasan kewangan sahaja tidak cukup sebagai penghalal cara kerana mereka masih ada alternatif lain. Antaranya termasuklah dengan mencari teman serumah yang sama jantina.
Boleh didenda atau dipenjara
Meskipun ada yang mendakwa mereka tidak melakukan persetubuhan selain masih menjaga tata susila selaku Muslim walaupun tinggal serumah berlainan bilik antara lelaki dengan wanita, bersekedudukan dalam satu rumah yang sama tetap dilarang. Ini kerana perbuatan tersebut boleh membuatkan seseorang menghampiri zina. Sedangkan dalam Islam sendiri sudah jelas menyatakan bahawa zina merupakan antara dosa-dosa besar.
Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat." (Al-Israak : 32)
Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah zina sebab ia menimbulkan enam kesan buruk, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Yang di dunia, zina akan menghilangkan kegembiraan, menyebabkan fakir dan mengurangkan umur sedangkan keburukan di akhirat nanti, zina menyebabkan pelakunya diazab, dihisab secara ketat dan kekal di neraka." (Riwayat Baihaqi).
Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam (JAIS), Ustazah Sabariah Salleh, bersekedudukan dan khalwat tidak jauh bezanya. Malah, khalwat juga boleh berlaku dalam bersekedudukan itu sendiri. Berdasarkan kepada Enakmen 9 tahun 1995 / Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bahagian IV yang membabitkan kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan, beliau memberitahu khalwat tidak semestinya melibatkan hanya sepasang lelaki dan perempuan sahaja.
"Khalwat adalah (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; (b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan satu kesalahan. Apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," terang Ustazah Sabariah lanjut.
Sambungnya, sama seperti khalwat, bersekedudukan satu rumah lain bilik tetap boleh menimbulkan syak walaupun individu terbabit tidak melakukan perkara-perkara tidak bermoral. Justeru, jika ada aduan dan mereka ditangkap, orang yang bersekedudukan boleh didenda atau dipenjarakan. Sementara individu yang menyewakan rumah kepada mereka pula boleh didakwa bersubahat.
Jadi bagi yang memilih gaya hidup bersekedudukan, tepuklah dada dan tanyalah iman kerana selaku manusia, Allah tidak pernah kedekut dalam memberikan kita pilihan. Dan terserahlah kepada kita sebagai hamba-Nya untuk memilih – jalan yang diredainya ataupun sebaliknya.
SUMBER : I LUV ISLAM.COM
No comments:
Post a Comment