Anda inginkan iklan? Sila klik disini :0)

Tuesday, April 5, 2011

ABPBH2010 memang ‘meletup’


BUKAN mudah untuk menjadikan acara penyampaian anugerah sebagai satu majlis meriah dan menarik perhatian bukan saja penonton di dewan, malah melalui siaran langsung yang diadakan tetapi kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) berjaya merealisasikan tugas berat itu.Kemeriahan dan warna-warni rangkaian persembahan berjaya memukau hadirin yang memenuhi Arena of Stars, Genting Highlands dan juga jutaan penonton yang mengikutinya melalui TV3 dan Hot FM, Ahad lalu. Saban tahun, ada saja kelainan dan pembaharuan yang disuntik terutama pada aspek persembahan pentas bagi menghidupkan lagi suasana. 


Gimik dan elemen kejutan yang ‘meletup’ menjadi santapan hiburan buat ribuan penonton di Arena of Stars mahupun jutaan lagi yang menonton di rumah.Untuk penganjuran kali ke-24 ini, ABPBH tampil berbeza, menterjemah kelainan dan konsep menarik pada lapan rangkaian persembahannya. Mengangkat tema Klasik Moden, ABPBH menyusun keseluruhan plot persembahan mengikut sentuhan muzik lama yang penuh emosi dan jiwa.



Dipimpin pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dengan iringan band seramai 15 pemuzik, ABPBH2010 mencuri perhatian penonton sebaik membuka tirai tepat jam 9 malam dengan dendangan tiga lagu medley, Jeritan Batinku, Asmara dan Bunyi Gitar disampaikan paduan vokal memukau, Azlan The Typewriter, Ning Baizura, Farhan dan Adira. 

Segmen klasik pembukaan ini dianggap berbeza dan hebat. Mana tidaknya, lontaran vokal Azlan dan Ning tidak perlu disangkal kerana ia mampu membuai perhatian semua mata untuk meletak fokus padanya. Menariknya, seramai 60 penari turut diundang bagi menghidupkan lagi mood tema moden klasik di pentas mengiringi gabungan vokal empat penyanyi ini. 

Itu belum lagi kombinasi tiga penyanyi wanita, Ella, Alyah dan finalis Bintang Idola Berita Harian, Shima, menerusi rangkaian lagu Dua Insan Bercinta, Permata Biru, Kesal dan Gemilang. Bukan setakat mengalun vokal dengan kemas dan tersusun, malah peminat bagai terpukau untuk menyanyi bersama ditambah dengan karektor Ella yang bijak menghiburkan peminat. 

Vokal Alyah cukup hebat manakala aksi Ella pula seperti biasa begitu energetik. Kumpulan indie Hujan turut tampil dengan lagu Muda bagai memenuhi selera peminat remaja yang sentiasa menyokong pengaruh muzik mereka. Kemunculan Yuna mendendangkan tiga lagu termasuk dua lagu baru, Gadis Semasa, Penakut dan melodi keramatnya, Dan Sebenarnya bagai mengubati rindu peminatnya yang tidak putus menyokong. 

Mencuri perhatian, finalis kategori Pelakon Komedi Lelaki Popular seperti Nabil, Angah, Along, Zizan dan Johan pula mengambil alih pentas utama dengan menyampaikan lagu Pak Itam dan Hoorey Hoorey. Tidak hanya mencuit hati, mereka yang menggelarkan diri sebagai Najas, mengenakan gaya Broadway lengkap bertopi dan bertongkat. 

Sesuatu yang lebih memukau penonton apabila penyanyi terkenal, Anuar Zain mengalunkan lagu terbarunya, Sedetik Lebih yang dipetik dari filem Hikayat Merong Mahawangsa, membuatkan seluruh dewan terpaku. Pesona Anuar tidak pernah suram sebaliknya peminat tidak henti menjerit dan turut menyanyi bersama. 

Penyanyi muda, Ana Raffali pula mencuri peluang menyanyikan lagu duetnya yang kini sedang memuncak mendaki carta tertinggi, Kalau Berpacaran bersama Altimet tanpa Sohaimi Meor Hassan. Difahamkan Sohami tidak dapat menyanyi pada saat-saat akhir kerana sakit tekak. Penutupnya pula diselesaikan penghibur terkenal Datuk Siti Nurhaliza yang menyanyikan tiga lagu medley dengan susunan muzik yang baru, Bukan Cinta Biasa/ Nobody dan Nirmala. Dengan bantuan Aubrey Suwito, susunan muzik pada kesemua lagu itu diberikan nafas segar. 

Keseluruhan pada aspek persembahan, ia sungguh menghiburkan berbanding tahun-tahun sebelum ini. 

Kombinasi tiga pengacara, Raja Azura, Sharifah Shahirah (Shira) dan Zizan Razak, berjaya mencuit hati penonton dengan aksi-aksi mereka yang turut mengimbas filem-filem klasik Melayu seperti Ibu Mertuaku, Si Tanggang dan juga filem popular masa kini, Hantu Kak Limah Balik Rumah. 

Malah, mereka juga bijak menjadikan acara kemuncak penyampaian anugerah untuk Bintang Paling Popular apabila turut bekerjasama dengan Johan Raja Lawak dan Usop Wilcha untuk gimik mengumumkan keputusan. Aksi pemenang Bintang Paling Popular, Shaheizy Sam merangkul ibunya, dramatis Khaty Fauziah tatkala kemenangannya diumumkan mencatatkan satu momen paling meninggalkan impak tersendiri pada acara gemilang pada malam itu. 

Penontotn ketawa apabila ibu Sam turut di bawa ke pentas dan dengan spontan turut melakonkan gaya lenggok tangan Usop Wilcha diatas kerusi roda. Selain persembahan nyanyian ABPBH 2010 juga dimeriahkan dengan kemunculan ramai selebriti popular sebagai penyampai trofi. 

Antara selebriti yang menyampaikan anugerah pada malam itu termasuklah Anita Sarawak, Faizal Tahir, Fasha Sandha, Natasha Hudson, Sharnaaz, Aeril Zafrel, Lisa Surihani, Aida Aris, Raja Azmi Raja Sulaiman, Ahmad Idham,Shahz Jaszle, Juliana Evans dan Fizz Fairuz. 

Turut hadir menyampaikan hadiah adalah Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad, Datuk Anthony Bujang; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2010, Hanizam Abdullah.


-Metro-

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...