Sebanyak 300 kes gangguan seksual di tempat kerja dirujuk dan disiasat oleh Jabatan Tenaga Kerja sehingga Jun tahun ini sejak Kod Amalan Gangguan Seksual di tempat kerja dilaksanakan pada 1999.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata berdasarkan data secara puratanya, hanya kira-kira 30 kes gangguan seksual dilaporkan setiap tahun."Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, 23 kes gangguan seksual dilaporkan kepada Kementerian Sumber Manusia dan bilangan kes tahun ini dijangka meningkat," katanya menjawab soalan Senator Noriah Mahat pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
Noriah meminta kementerian menyatakan statistik kes-kes gangguan seksual yang dilaporkan dan jumlah syarikat yang telah menerima pakai Kod Amalan Gangguan Seksual itu.
Maznah berkata menyedari hakikat kod amalan itu tidak cukup berkesan untuk mengendalikan kes-kes berkaitan, kementerian telah membentangkan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang bertujuan meminda Akta Kerja 1955 pada persidangan Dewan Rakyat bulan lepas.
"Pindaan ini melibatkan banyak aspek yang berbeza berkaitan dengan pekerjaan dan gangguan seksual," katanya.
Mengenai bilangan majikan yang melaksanakan kod amalan itu di seluruh negara, Maznah berkata hanya kira-kira 1,671 majikan melaksanakan kod itu setakat ini.
"Majikan sebenarnya digalakkan untuk menggunakan kod ini kerana ia akan memudahkan mangsa-mangsa yang terlibat membuat aduan kepada pihak yang berkenaan," katanya.
Kuala Lumpur, 7 Julai
2 comments:
aku rasa aku lom penah kena gangguan seksual kat tempat kerja lagi kot.huhu...
hihihi..boleh plak main rase2 ek..huhu..kaum wanita yang sering jadi mangsa..en.apan..
Post a Comment